Tuesday, May 25, 2021

Kemalangan LRT 24 May 2021

maklumat awal insiden 

*Makluman Awal*

*KEMALANGAN MELIBATKAN TREN LRT, - LALUAN KELANA JAYA, JALAN AMPANG, KLCC*

Pada 24 MEI 2021, jam 2045, satu kemalangan telah berlaku melibatkan dua buah KOC Tren LRT bertempat Laluan Kelana Jaya di Stesen KLCC - KJ 10, Jalan Ampang, KUALA LUMPUR.

Siasatan Awal.

2. Jam 2045, berlaku pelanggaran antara Koc Tren LRT dari Stesen KLCC menghala ke Stesen Kg Bharu yang dipandu secara automatik dengan KOC daripada Stesen Kg Bharu menghala ke Stesen  KLCC dipandu secara manual. Pemandu Koc daripada stesen KLCC tidak dapat “Detect” koc daripada Kg Bharu kerana berlaku “Miscommunication” daripada pusat kawalan. 

3. Jam 2130, setakat ini jumlah mangsa yang terlibat belum dapat dipastikan kerana kerja² penyelamatan sedang dijalankan oleh Pihak BOMBA, PDRM dan JPAM dibantu bersama staff Rapid.

Pemantauan diteruskan.

kenyataan media

KENYATAAN MEDIA 

Kemalangan yang melibatkan 2 tren LRT Laluan Kelana Jaya pada malam tadi merupakan satu kemalangan tren yang sangat serius dan yang paling teruk dalam sejarah LRT sejak ia beroperasi pada tahun 1998 di negara kita.

Mengikut laporan daripada pihak polis, terdapat 213 penumpang yang cedera termasuk 47 yang cedera parah. Kemalangan ini melibatkan pertembungan 2 tren yang bertentangan. Seperti diketahui umum, tren LRT dipandu secara automatik tanpa pemandu. Salah satu tren yang terlibat yang dikatakan mengalami kerosakan dipandu secara manual dan berada dalam landasan yang tidak sepatutnya.

Memandangkan kejadian ini menyebabkan kecederaan orang awam, saya menyeru pihak polis membuat siasatan secara mendalam dan sekiranya ia melibatkan kecuaian manusia, tindakan pendakwaan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat  2010 mesti di ambil segera. 

Selain siasatan polis, taskforce siasatan yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan mesti terdiri daripada pakar-pakar bebas dalam bidang tren dan diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menyiasat semua aspek dalam kemalangan tersebut.

Laporan daripada taskforce bebas tersebut mesti diumumkan secara telus kepada pihak orang ramai dan tindakan susulan untuk memperbaiki segala kelemahan mesti diambil serta merta untuk mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap aspek keselamatan dalam sistem pengangkutan awam negara. 

Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh pasukan penyelamat yang terdiri daripada pihak bomba, pihak polis dan para petugas kecemasan dari hospital berdekatan yang berjaya menyelamatkan semua mangsa dari tren tersebut. 

LOKE SIEW FOOK
AHLI PARLIMEN SEREMBAN

24 MEI 2021

Gambar2 mangsa di dalam tren yg terlibat.. usaha menyelamat giat di lakukan pihak bomba polis  dan pihak berkuasa lain. 









Lapuran dari Doktor di HKL
Bencana LRT Semasa Pandemik

Semasa pandemik, hospital-hospital di seluruh Malaysia bergelut dan berhempas pulas untuk menempatkan pesakit-pesakit Covid saban hari. Apabila, saya masuk untuk bekerja pada pukul 10 malam di Jabatan Kecemasan & Trauma HKL, saya dikejutkan dengan berita bahawa terdapat insiden dua gerabak transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya  bertembung di terowong berhampiran KLCC. 

Terdapat 213 orang penumpang dalam gerabak tersebut. Sebelum saya masuk, terdapat 3 pakar Kecemasan yang bertugas iaitu Dr Nurul Liana, Dr Azman dan Dr Khairul Izwan. Kejadian dikhabarkan berlaku pada pukul 8.33 malam. 

Kira-kira setengah jam sebelum saya masuk, Dr Liana dikejutkan dengan 3 pesakit kritikal yang datang serentak. 5 minit selepas itu, 12 ambulans tiba. Dr Liana segera menghubungi Ketua Jabatan kami, Datuk Dr Mahathar dan dengan cemas melaporkan situasi.

"Tarik nafas dalam-dalammm..." Datuk Mahathar menenangkan Dr Liana. Dia mendengar setiap butir cerita. Pusat Panggilan Kecemasan memaklumkan ada 47 mangsa. 

Kami selalu mengusik Dr Liana kerana kerapkali insiden ‘bencana’ berlaku ketika dia bertugas. Dia pula tetap ‘rancak’ walaupun sarat mengandung. 

Dari perkiraannya, dengan mengoptimakan staf, kami masih dapat menampung pesakit asalkan tidak melebihi 50 orang. Tambahan pula, agak dikhuatiri jika pesakit yang salah dibawa ke hospital yang salah. 

Misalnya, pesakit dengan kecederaan otak tidak harus dibawa ke hospital yang tidak ada pakar neurosurgeri. Maka semuanya diterima oleh HKL. Jika mangsa lebih dari 50, kami akan 'berkongsi' pesakit-pesakit dengan hospital-hospital lain. Ini pernah kami lakukan pada masa lalu.  

Di tempat kejadian, sudah ada lebih 10 ambulans dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, pasukan ambulans Bomba dan Penyelamat, pasukan St John's Ambulance Malaysia dan pasukan ambulans dari Hospital Kuala Lumpur. 

Apabila masuk kerja, saya sedar, perkara pertama adala untuk memahami situasi. Setelah ini saya lakukan dan mendapat semua maklumat, saya mula fikirkan tentang penempatan pesakit-pesakit di setiap zon. Kita perlu besarkan setiap zon. 

Maka saya membuat ' briefing' ringkas di zon merah dan zon kuning yang tidak terlibat dengan kes-kes Covid. Semua petugas syif petang diarahkan untuk tidak pulang dan bersama-sama petugas syif malam menyelesaikan setiap kes. 

"Penyelia-penyelia, buka katil-katil kanvas di zon-zon tambahan. Team leader malam, agihkan semua staf untuk ambil pesakit. Sister, gunakan tag lain warna untuk asingkan pesakit insiden dan pesakit yang lain. Sila senaraikan semua nama pesakit insiden di 'whiteboard'."

Saya tahu, semua petugas syif petang keletihan kerana sudah sampai masa untuk mereka pulang. Tetapi mereka sangat tabah dan sabar. Tidak ada satu wajahpun yang memperlihatkan riak wajah yang tidak suka dengan arahan ini. Sebaliknya semua nampak bersemangat. 

Saya bernasib baik, kerana selain 3 pakar yang sudah ada, ada lagi pakar-pakar lain yang datang dari rumah - Dr Ibrahim, Dr Rathini, Dr Hafiz dan Dr Amira sudahpun sampai. Malah ada pakar kecemasan, Dr Shah Jahan dari Hospital Sungai Buloh yang turut serta. "My house dekat jer," katanya.

Pakar-pakar ini dibahagi-bahagikan ke setiap zon untuk merawat pesakit bersama pasukan kami. 

Ketua Jabatan kami, Datuk Dr Mahathar pun tiba sejurus selepas itu dan mula memantau semua perawatan pesakit. Hati kami semakin berbunga kerana pengarah kami, Datuk Dr Herric sudah tercegat di tepi pintu. 

Sementera Datuk Mahathar dengan pantas dan teliti memeriksa pesakit-pesakit malah ada yang sudah siap dibuat pemeriksaan ultrasound, Datuk Herric pula kami berikan maklumat insiden. Dia sangat membantu, dengan memberikan arahan kepada pasukan kejururawatan untuk melihat katil-katil wad bagi menampung tambahan pesakit. 

Malah, apabila saya katakan kepadanya, "Datuk, we have 42 patients in the green zone and they are all queing up for X-Ray in the emergency department. If we can get the radiologist to open their X-Ray department, we can send those who can walk there and speed up all X-Rays."

Sepantas itu, dia terus menelefon ketua jabatan radiologi, Dr Shantini. Dr Shantini terus bersetuju. Dr Amira selepas itu mengumpulkan semua pesakit yang perlukan X-Ray dari zon hijau dan seramai 19 orang dihantar untuk secara berkumpulan. Ianya menjadi pantas.

Pakar-pakar Neurosurgeri, Anestesiologi, Surgeri dan Ortopedik juga turun dan bersama mereka keputusan pembedahan dan kemasukan wad juga pantas setelah semua pesakit diperiksa dan distabilkan oleh pasukan kami. 

Sementara ini berlaku, pesakit-pesakit Covid atau bukan-Covid yang sudah sedia ada di jabatan tetap dirawat seperti biasa. 

Menjelang pukul 12, seramai 67 pesakit sudahpun ada di jabatan kami dan pasukan yang ada berkerja dengan efisyen. Respons di tempat kejadian sudah diisytiharkan 'stand down' pada pukul 11.37 malam. 

Pasukan kejururawatan telah menyediakan katil-katil di hospital untuk semua yang perlukan ICU dan Wad. dari 67 pesakit, 6 adalah kritikal, 19 separa kritikal manakala 42 adalah tidak kritikal. 

Kami juga perlu memeriksa suhu badan dan memastikan mereka tidak ada gejala Covid semasa memberikan rawatan. Malah bagi setiap pesakit yang perlukan kemasukan wad, ujian RTK antigen atau Gene Expert PCR dibuat. 

Akhirnya, menjelang pukul 1 pagi, semua pesakit selesai diperiksa dan telah ada perancangan rawatan. Maka pada pukul 1.25 pagi, kami semua mengadakan sesi 'debriefing'. Semua gembira kerana insiden ini dapat ditangani dengan amat efisyen berkat kerjasama semua di HKL. Kami melepaskan petugas syif petang untuk pulang. 

Datuk Dr Mahathar mengucapkan terima kasih kepada semua petugas dan akhirnya dia mengisythiharkan 'stand down' tepat jam 1.38 pagi.

Walaupun insiden ini dapat ditangani, ‘loceng’ terus berbunyi bagi kes-kes Covid yang datang ke hospital membawa pesakit yang tercungap-cungap. Dua daripada mereka terpaksa kami ‘tidurkan’ dan pasangkan mesin ventilator. 

Bencana seperti ini tidak memilih masa malah masih boleh berlaku ketika pandemik dan mengusutkan lagi keadaan. 

Tidak kira walau apapun krisis yang menimpa, kita harus tenang, rasional, sabar dan bersatu hati menyelesaikan setiap masalah.

Jika semua mencurahkan tenaga untuk ‘menjambatankan’ setiap jurang, setiap ribut dapat kita hadapi bersama. 

Facebook: Dr Alzamani Mohammad Idrose

gambar2 dari fb doktor .. 

#alzainsights #alzastories


No comments:

Post a Comment